Tahniah buat Kumpulan HARMONI (kumpulan nasyid SMKA Kota Kinabalu) kerana berjaya menjadi johan di Pertandingan Nasyid Karnival SEJADAH peringkat bahagian Kota Kinabalu yang melayakkan mereka ke peringkat negeri.
Ditengah-tengah kesibukan urusan kerja di Labuan baru-baru ini, saya mendapat sedikit keluangan untuk menziarah sekolah yang telah saya tinggalkan selama 4 tahun semenjak SPM tahun 2004. Kali terakhir saya ziarah pada tahun 2007.
Seawal 6.30 pagi saya dan seorang sahabat ke terminal feri Labuan, bersesakan beratur membeli tiket. Perjalanan dengan feri selama 1jam 30 minit dari terminal Labuan hingga ke terminal feri Menumbok diteruskan dengan perjalanan menggunakan Bas Ekspres selama 2 jam 30 minit ke Kota Kinabalu. Kami tiba di Kota Kinabalu lebih kurang pukul 12 tengah hari dan disambut oleh sahabat-sahabat junior SPM 2008.
Kami terus ke sekolah. Sekolah sunyi sepi kerana semua guru dan pelajar sedang menjalani Perkhemahan Agung. Yang tinggal hanyalah beberapa orang termasuk Kumpulan HARMONI dan Kaunselor, Cikgu Fazliah. Mereka tidak menyertai perkhemahan kerana sibuk dengan latihan dan persediaan untuk Karnival SEJADAH pada keesokan harinya.
Kami mengambil kesempatan untuk bersama Kumpulan HARMONI dalam sesi latihannya, memberi sedikit tunjuk ajar dan bimbingan. Kami bersama mereka di sekolah sehingga lewat tengah malam sebelum menumpang tidur di rumah seorang sahabat usrah di luar Kota Kinabalu.
Keesokan paginya kami hadir ke tempat karnival. Kumpulan HARMONI sedang bersedia menunggu giliran, giliran ke-7. Seperti kebiasaan, apabila selesai kumpulan ke-5 kami keluar untuk ‘practice’ kali terakhir sebelum naik pentas. Kumpulan ke-7 dipanggil, Harmoni naik pentas dan memulakan persembahan. Gangguan teknikal ‘microphone’ ternyata mengurangkan kualiti persembahan. Jarak ‘microphone’ yang dipegang terlalu dekat menyebabkan suasana dewan menjadi bingit.
Alhamdulillah, selesai persembahan saya menyambut mereka di kaki pentas. Jelas eksperi muka masing-masing menunjukkan kelegaan menyampaikan persembahan. Jam menunjukkan pukul 11.45, kami tidak tunggu lama, bersalam-salaman dengan semua dan terus beredar ke Terminal Bas Kota Kinabalu. Kami berkejaran mendapatkan tiket bas ekspres yang dijadualkan pada pukul 12.30 tengah hari dan feri pada pukul 4.30 petang kerana tidak mahu lewat menghadiri temu janji pada pukul 8 malam di Labuan.
No comments:
Post a Comment