Persembahan Nasyid & sewa PA System, klik imej

Tuesday, December 25, 2007

Kawan Sejati Membina Peribadi

Dari abi sa’id sa’ad bin malik bin sinan al-khudri r.a. bahawa nabi SAW pernah bersabda: Adalah dikalangan umat yang terdahulu daripada kamu seorang lelaki yang telah melakukan jenayah membunuh seramai 99 orang. Lalu dia bertanya dimanakah orang yang alim dibumi ini? Lalu ditunjukkan kepadanya seorang rahib(ahli ibadah). Maka dia datang menemuinya dan bertanya, sesungguhnya dia telah membunuh 99 orang, adakah peluang baginya untuk bertaubat? Lalu rahib itu berkata “tidak” maka dia membunuh rahib tersebut, maka mencukupilah 100 orang. Kemudian dia bertanya lagi, dimanakah orang yang paling alim di bumi ini? Lalu ditunjukkan kepadanya seorang yang alim. Maka dia bertanya kepada si alim itu, “sesungguhnya saya telah membunuh seramai 100 orang, adakah peluang bagi saya betaubat?” lalu orang alim itu menjawab “ya, siapakah yang menghalangmu dari bertaubat. Pergilah ke sebuah negeri, disebut negerinya, sesungguhnya disana ada orang-orang yang beribadat kepada Allah, maka beribadatlah engkau bersama mereka dan jangan kembali ke negerimu ini kerana ia negeri jahat bagimu”. Lalu dia bertolak. Apabila sampai di separuh jalan, tiba-tiba dia telah meninggal dunia. Maka berkelahi malaikat rahmat dan malaikat azab. Berkata malaikat rahmat, “Dia datang dalam keadaan bertaubat mengadap Allah dengan hatinya yang ikhlas” dan berkata malaikat azab, “Dia tidak pernah beramal dengan amalan yang baik sedikitpun” lalu datang kepada mereka satu malaikat yang merupakan dirinya dalam rupa manusia untuk menjadi hakim(penyelesai) perbalahan dua malaikat. Maka katanya, “ukur diantara kedua negeri, yang mana lebih dekat” maka itulah untuknya. Lalu mereka mengukurnya. Tiba-tiba didapati lebih dekat kepada negeri yang dituju. Lalu malaikat rahmat mengambil rohnya untuk dibawa ke syurga.
-Riwayat bukhari dan muslim-

Pengajaran yang boleh diambil daripada hadith di atas ialah, untuk membentuk peribadi muslim yang taat dan dekat kepada Allah memerlukan persekitaran masyarakat yang soleh dan mengabdikan diri kepada Allah. Dalam konteks semasa, bolehlah kita katakana kawan-kawan yang paling akrab dengan kita berperanan dalam pembentukan diri. Berkawan dengan orang yang berakhlak buruk dan rosak imannya pasti akan membuatkan kita terpalit sama dengan keburukan kawan itu, manakala berkawan dengan orang yang berpegang pada akhlak Islamiyah dan mempunyai iman yang teguh pula pasti akan membuatkan kita setidak-tidaknya merasai kemanisan Islam yang ada pada kawan tersebut seterusnya menjadikan kita cenderung kearah Islam.

Remaja khususnya perlulah mengenal pasti betul-betul mana satu sahabat yang ingin didakwahkan dan yang ingin dijadikan tempat rujukan. Kadangkala remaja keliru dengan hujah perlunya bergaul dengan sahabat-sahabat yang kurang bermoral untuk berdakwah kepada mereka. sehinggakan mereka banyak bergaul dengan sahabat yang kurang bermoral dan akhirnya tanpa sedar, mereka juga sedikit demi sedikit menjadi tidak bermoral.

Begitulah sedikit sebanyak cara untuk membina peribadi muslim sejati berlandaskan apa yang telah diajar oleh Nabi Muhammad SAW.
Kawan sejati membina peribadi....

Wednesday, November 7, 2007

Sekeras Batu Selembut Air

Air yang terus menitik di atas seketul batu, lama kelamaan akan menghasilkan kesan lekuk pada batu tersebut, bahkan ada juga batu yang terbelah kerana titisan air itu. norma air satu elemen yang sejuk dan lembut manakala batu pula satu elemen yang kasar dan keras. SubhanaLlah… ajaib sungguh. Batu yang keras dilembutkan air yang lembut.

Keras batu, taat dan setianya pada Allah tidak berbelah bahagi. Mendalam cintanya pada Rasulullah, ingin bersama-sama baginda mikraj bertemu Allah. Batu keras inilah yang menjadi senjata rakyat palestin menentang rejim zionis.seribu satu faedah kita peroleh daripada batu yang keras.

Hati manusia juga boleh menjadi keras. Hati yang keras ini amat payah untuk diterobos nur hidayah. Tidak seperti batu, hati yang keras inilah yang paling ingkar pada Allah Taala. Cinta dunia dan cinta diri sendiri paling utama mengatasi segalanya bagi hati yang keras. Keras hati bukan sahaja merosakkan diri seseorang manusia, tetapi turut menjadi barah dalam daging ummah apabila seribu satu kemungkaran tumbuh bermula dari sebiji benih.

Apabila hati manusia keras,maka lahirlah manusia yang langsung tidak rasa dirinya bertuhan. Diri yang tidak bertuhan ini hidup atas kehendak dirinya, berbuat sesuatu ikut sukanya. Al-Quran tidak lagi menjadi pegangan. Rasulullah hanya diketahui nama, tak dikenalinya Muhammad itu dengan sebenar-benarnya. Nasihat dianggap bebelan baginya, syariat sebagai kongkongan, akhirat sekadar dongengan, ulama tak lain hanya pendusta bodoh yang membosankan.

Diri ini mesti diselamatkan. tetapi masakan hati yang sekian lama keras ini mampu berubah menjadi seorang hamba yang soleh dalam sekelip mata. Maka disinilah perlunya penangan zikrullah, ibarat air yang mampu melembutkan hati yang keras. Zikrullah mengingati Allah dalam apa cara sekalipun tidak kira dengan membasahkan lidah dengan berzikir atau sekadar mengingatinya dengan melihat alam ciptaannya.

Moga dengan zikrullah, cara yang tidak perlu kita mengeluarkan keringat bersusah-payah ini dapat menghindarkan hati kita daripada menjadi keras.

Dengan mengingati Allah hati menjadi tenang”[ar-Ra’d,13:28]

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar, Laailahaillallah

-anggaplah Hidayah tidak mencari, Hidayah perlu dicari-

Friday, October 26, 2007

Berkorban Apa Saja......

Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan Yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu) Iaitu ketika mereka didatangi Rasul-rasul (Kami), Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) Dengan Rasul Yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: ` Sesungguhnya Kami ini adalah diutuskan kepada kamu '. Penduduk bandar itu menjawab: "Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti Kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang ugama Yang kamu dakwakan); kamu ini tidak lain hanyalah berdusta". Rasul-rasul berkata: Tuhan Kami mengetahui Bahawa Sesungguhnya Kami adalah Rasul-rasul Yang diutus kepada kamu, "Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya Dengan cara Yang jelas nyata". Penduduk bandar itu berkata pula: "Sesungguhnya Kami merasa nahas dan malang Dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas Yang kamu katakan itu), tentulah Kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak Kami azab seksa Yang tidak terperi sakitnya". Rasul-rasul itu menjawab: "Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) Yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi peringatan dan nasihat pengajaran (maka kamu mengancam Kami Dengan apa Yang kamu katakan itu)? (kamu bukanlah orang-orang Yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau". Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu Dengan berlari, lalu memberi nasihat Dengan katanya:" Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu - "Turutlah orang-orang Yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayah petunjuk". Dan (apabila ditanya: sudahkah Engkau menerima ugama mereka? maka jawabnya): "Mengapa Aku tidak menyembah Tuhan Yang menciptakan daku, dan Yang kepadaNyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan? "Patutkah Aku menyembah beberapa Tuhan Yang lain dari Allah? (sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku Dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku. "Sesungguhnya Aku (kalau melakukan syirik) tentulah Aku pada ketika itu berada Dalam kesesatan Yang nyata. "Sesungguhnya Aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku)",. (setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: "Masuklah ke Dalam Syurga". ia berkata; "Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui - "Tentang perkara Yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang Yang dimuliakan".”
[Yaasiin,36: 13-27]


Sebuah kisah yang dirakamkan oleh Allah Taala, Tuan punya semesta alam dalam al-Quran. Kisah yang bertepatan dengan sunnah orang yang berjuang menyebarkan agama Allah dan menegakkan kalimah Laailaha illaLlah. Penulis tertarik dengan ‘lelaki’ yang diceritakan Allah dalam kisah di atas yang datang mempertahankan Rasul2 Allah. Tanpa teragak-agak lelaki tersebut membela para rasul tersebut. MasyaAllah, betapa tingginya tahap keimanan lelaki ini yang akhirnya mati dibunuh kerana mempertahankan keimanannya. Diriwayatkan lelaki bernama habibun najar ini telah dipenggal kepalanya di atas sebuah bukit dan kepalanya bergolek turun hingga ke bawah bukit.
Persoalannya disini, dalam suasana kondusif kita sekarang ini, apakah mampu kita untuk bertindak sehingga sedemikian rupa semata-mata untuk mempertahankan agama Allah yang disampaikan oleh rasul tercinta nabi Muhammad SAW. Ya Allah…..dhaifnya diri ini…..

Thursday, October 25, 2007

Ramadhan Terakhir

Di bulan puasa baru-baru ini, aku nyaris terlibat dalam satu tragedi yang hampir membuatkan penulis tidak lagi meneruskan hidup di bumi Allah ini, jauh sekali untuk bersua muka sekali lagi dengan sahabat2 sekalian di hari raya… dalam keadaan hujan dan mengejar masa untuk ke program, entah macam mana apabila melalui satu takungan air di highway, system brek ‘jam’ dan kereta aku hilang kawalan dan hampir merempuh kereta hadapan dengan kelajuan tak kurang 90km/j.

Perkara utama di sini bukanlah tragedi yang menimpa aku, tapi yang lebih utama ialah peringatan-peringatan yang telah diberikan kepada kita akan hampirnya maut dengan kita.

Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki Yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadaNya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu Dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa Yang sedikit sahaja lagi, supaya Aku dapat bersedekah dan dapat pula Aku menjadi dari orang-orang Yang soleh ". Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu Yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah amat mendalam pengetahuannya mengenai Segala Yang kamu kerjakan.

[almunafiqun,63:10-11]

Maut dan amal soleh mempunyai ikatan yang utuh. Tiada persiapan yang terbaik untuk menuju ke alam barzakh melainkan dengan persiapan amal soleh. Persiapan yang hanya boleh dilakukan di alam ini. Ibarat pemandu yang sedang menuju ke suatu destinasi yang tiada stesen minyak disepanjang perjalanan, maka perlulah diisi minyak kereta dengan sebanyak mungkin. Sebut tentang beramal sebanyak mungkin, teringat ana perbualan 2 pelajar kelas aku sewaktu aku tingkatan satu.

A : Apa hukumnya seseorang itu, dia tahu ada orang akan datang ke rumah untuk membunuhnya tapi dia tak lari dan hanya tetap dirumah itu menantikan sang pembunuh?
B : Entahlah….boleh kot….
A : Tapi bukan ke tu sengaja membiarkan diri dibunuh, kira bunuh diri la tu….
B : tapi macam mana pulak kalau dia lebih rela berhadapan dengan sang pembunuh berbanding berhadapan dosa dan maksiat di masa hadapan dengan keadaan masyarakat seteruk ini…???

aku tak berniat untuk bincang tentang hukum, Cuma aku tertarik disini dengan si B yang memikirkan maut & dosa serta maksiat walau dalam usia yang masih mentah 13 tahun…. Alangkah malunya kita terutama aku sendiri yang dah lebih 2dekad hidup di muka bumi Allah SWT tapi masih tak terlintas di benak pemikiran kita tentang perkara ini. bersesuaian dengan sabda nabi Muhammad SAW, alangkah beruntungnya orang-orang yang sentiasa mengingati mati ini. Apabila sentiasa ingat, bagi manusia yang waras maka sudah pastilah akan sentiasa bersedia untuk menghadapinya. Seharusnya pejuang-pejuang agama Allah sentiasa mendambakan mati. Signifiken damba mati, sudah pasti kita akan beramal soleh sebanyak mungkin. Bahkan tidak cukup itu sahaja, pasti juga kita berusaha sedaya mungkin membina dan melahirkan pejuang-pejuang baru sebagai persedian untuk menggantikan kita sebagai mata rantai perjuangan apabila kita mati kelak…

I’mal liddunya kakaannaka ta’isyu abada,
Wa’mal liakhiratika kakaannaka tamutu ghaada,
Siapa tahu peringatan seterusnya merupakan peringatan untuk masyarakat sekeliling kita tetapi seruan untuk kita…. Moga kita sama-sama ditempatkan di syurga Allah kelak dan dihindar dari azab seksaNya….

Wallahua’lam…..

Wednesday, October 24, 2007

Sonata Musim Salju

Salju kembali menjelma
Setelah luruh berlalu pergi,
Tersaksi kita di musim yang lepas,
Daun-daun hijau kegemilangan,
Berganti reput dedaun kehinaan,
Yang akhirnya sayup berguguran,
Dipijak rakus sang durjana......

Salju kembali menjelma,
Terasa dingin badan membeku,
Hangat hati siapa yang tahu,
Apa tidaknya melihat si balu,
Mudah amat diperkosa soldadu,
Bangkit melawan tiada siapa yang mahu,
Hanya termangu walau jumlah berjuta-ribu,

Salju terus berlalu,
Orang melihat permaidani salju,
Putih terbentang sepanjang jalan,
Aku melihat tumbuhnya benih-benih,
Dari tanah Quran Sunnah,
Terbaja dengan sirah Rasulullah.

Salju terus berlalu,
Tidak kelihatan benih-benih tumbuh,
Timbulnya pastinya mengundang padah,
Akarnya perlu cukup matang dan teguh,
Kelak berseri bunga muslimah,
Manis muslimin sebagai buah,
Tanda kukuh pembinaannya.

Salju kini berlalu,
Benih ini pohon pengukuh,
Pengukuh anak –anak tangga harapan,
Fardi Al-Muslim,
Baitul Muslim,
Mujtama’ Muslim,
Daulah Islamiah,
Khilafah Islamiah,
Seterusnya menjulang kalimah
Laa ilaha illallah,

Salju kini berlalu,
Moga besarnya pohon ini nanti,
Rendang ia meneduh harapan,
Menyebar benih-benih kesedaran,
Agar pembinaan terus berjalan,
Andai gugurku sampai giliran,
Di sana nanti ku harap pertemuan.

source:dakwah.info

Hiburan Hijau