Persembahan Nasyid & sewa PA System, klik imej

Friday, May 22, 2009

PERAK, tak habis-habis lagi....


Berhimpun para pembesar Quraisy dan berkatalah mereka kepada Nabi Muhammad SAW:

Wahai Muhammad, kami telah mengutus orang untuk memanggilmu kerana kami ingin berbicara denganmu. Demi Allah, kami tidak mengetahui seorang Arab yang telah mempengaruhi kaumnya seperti apa yang telah kamu pengaruhi kaummu. Kamu kecam nenek moyang, kamu mencela tuhan-tuhan, kamu memperbodohkan impian-impian kami, kamu pecah-belahkan persatuan dan tidak ada sesuatu yang paling keji kecuali apa yang telah kamu datangkan di antara kami dan kamu”.

Kata mereka lagi,

Jika kamu inginkan HARTA dari dakwah ini, maka kami akan mengumpulkan harta untukmu sehingga kamu menjadi orang yang paling kaya dan banyak harta. Jika kamu ingiikan keMULIAan dari dakwah ini, maka kami bersedia memuliakan kamu di antara kami. Jika kamu inginkan KERAJAAN dari dakwah ini, maka kami akan mengangkatmu menjadi raja di antara kami. Jika yang datang kepadamu itu penyakit yang menguasai kamu, maka kami bersedia mengorbankan harta kami untuk mencari ubatnya sehingga kamu sembuh”.

Rasulullah kemudian menjawab,

Tidak ada pada diriku apa yang kamu sebutkan itu. Aku tidak mengharapkan HARTA kalian. Aku tidak mengharapkan KEMULIAAN di antara kamu, juga tidak inginkan KERAJAAN. Tetapi Allah telah mengutuskan aku kepada kalian sebagai Rasul. Dia telah menurunkan Kitab kepadaku dan memerintahkan agar aku menjadi pemberi khabar gembira dan juga ancaman kepada kalian, kemudian aku sampaikan perintah-perintah Tuhanku kepada kalian

Mungkin kisah ini sama sekali tidak sama dengan apa yang terjadi di Perak sekarang ini. Cuma saya kira kisah ini sudah cukup memberi peringatan kepada kita akan matlamat dan tujuan sebenar dakwah Islam agar kita tidak cepat melatah dengan ketidakadilan yang berlaku dalam kes ‘rampasan kuasa’ di Perak. Matlamat ini sudah pasti untuk memastikan Islam tertegak. Mungkin apa yang terjadi di Perak merupakan satu signal bahawa kualiti yang kita ada belum cukup untuk membolehkan kita menegakkan Islam melalui kerajaan. Namun, tidak bererti kita redha dengan kezaliman yang dilakukan. Firman Allah:

Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata. kemudian jika mereka berhenti (dari kekufurannya dan gangguannya, nescaya mereka diberikan balasan Yang baik) kerana Sesungguhnya Allah Maha melihat akan apa Yang mereka kerjakan.”

[al-Anfal,8:39]

Wallahu’alam....

Wednesday, May 20, 2009

Ulama' Profesional

Kecoh sejenak baru-baru ini tentang isu Ulama' bertembung dengan Profesional, mungkin hasil propaganda pihak tertentu. Saya teringat firman Allah:

...dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya).

[al-Maidah,5:2]

Saya fikir tidak ada apa yang perlu digembar-gemburkan dan dipening-peningkan kerana semua golongan diperlukan dalam saf perjuangan Islam. Konsep saling melengkapi seharusnya tidak dilupakan. Saf perjuangan Islam perlu bergerak secara profesional manakala ulama’ pula penting sebagai penjaga paksi perjuangan Islam. Firman Allah SWT:

...Sebenarnya Yang takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah Ulama’. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.

[Faathir,35:28]

Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang Yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu Yang dituntut di Dalam ugama, dan supaya mereka memberi peringatan kepada kaumnya (yang keluar berjuang) apabila kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

[at-Taubah,9:122]

Wallahua’lam

HARMONI (2)

Tahniah sekali lagi buat kumpulan HARMONI kerana sekali lagi berjaya menjadi johan dan melayakkan diri ke pertandingan nasyid karnival SEJADAH peringkat kebangsaan.

Mengapa saya begitu tertarik untuk menulis tentang kumpulan ini. Kumpulan ini dari dahulu sehingga kini sentiasa mendapat kecaman dan tekanan dari pelbagai pihak di sekolah. Saya tidak pasti kenapa begitu. Mungkin pihak-pihak tersebut melihat beberapa orang dari kumpulan ini mempunyai masalah akademik, disiplin dan akhlak. Maka kerana itulah tekanan dan kecaman sentiasa diberikan sehingga saya lihat kumpulan ini lebih ‘independent’ dan tidak terlalu bergantung harap kepada pihak sekolah.

Dari sudut pandang saya, di sebalik masalah akademik, disiplin dan akhlak beberapa orang ahli, ramai yang lupa dan membutakan diri bahawa tokoh-tokoh pelajar sekolah lahir dari kumpulan ini. Apabila para ustaz tidak hadir memberikan kuliah maghrib seperti yang dijadualkan, maka ahli-ahli dari kumpulan inilah yang bangun menggantikan. Sebegitu ramai hasil yang keluar dari sekolah ini, kita dapat lihat ramainya dari kumpulan inilah yang balik semula ke sekolah dengan jiwa dakwah berbanding ikon-ikon yang dibanggakan oleh sekolah yang entah hilang ke mana dan tidak lagi bersyaksiah dan berakhlak di luar sana apatah lagi untuk menjadi pendakwah.

Di tengah-tengah kehangatan politik di peringkat nasional, saya juga mendapat maklum akan kehangatan politik di dalam sekolah (SMKA Kota Kinabalu) yang tanpa sedar ‘menyembelih’ dan memadamkan sinar Islam di bumi Sabah.

Saya sedikit kesal dengan sikap segelintir ustaz dan ustazah yang lebih banyak mengeluh masalah dan menuding jari kepada pelajar berbanding membimbing pelajar secara serius. Masakan pelajar yang setahun jagung ini boleh kita harapkan untuk menjadi baik dalam keadaan sedia ada dan serta-merta tanpa bimbingan dan usaha proaktif sehidup semati para pendidik.

Sewaktu dahulu, generasi kebangkitan lahir dizaman wardennya seawal 4.30 pagi memasang kaset al-Quran di asrama, mengejutkan para pelajar dengan 2 kali rondaan sambil membawa sebaldi air(untuk dijirus) untuk solat subuh berjamaah. Sekitar zaman itu, sekolah berjaya ke peringkat kebangsaan dalam beberapa acara ko-kurikulum dan pencapaian akademik melonjak naik, tersohor di bumi Sabah hinggakan ada cina yang berkeinginan menghantar anaknya ke sekolah ini.

Tetapi kini, saya khuatir tiada lagi generasi kebangkitan yang lahir melainkan dari perut kebobrokan masyarakat sekolah. Keboborokan masyarakat yang lebih mengutamakan sambutan hari lahir berbanding sambutan mengingati Rasulullah SAW, yang lebih mengutamakan pertandingan kawad kaki berbanding menghidupkan surau. Maka tidak hairanlah kesemua legacy bahas dan pidato peringkat kebangsan kini hanya tinggal kenangan bersama-sama pencapaian akademik yang tidak bermakna disamping tercabutnya iman dari hati pelajar.

“Kita adalah kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam, sesiapa yang mencari kemuliaan selain dengan Islam, maka Allah memberinya kehinaan”

Wallahua’lam....

Yang benar,

Alumni yang prihatin

Thursday, May 14, 2009

Di Pondok Kecil....Di Pantai Ombak

Jom ke pantai,jom....

Tidak berapa lama selepas selesai solat Subuh, saya mengajak sahabat-sahabat ke pantai. Maklumlah,di gombak tak ada pantai. Pergi sabah hari tu pun, tak sempat nak ke pantai. Jadi ambil peluang di rumah ibu angkatlah untuk ke pantai.

Pantai berlumpur, hajat kami untuk mandi terpaksa dibatalkan. Sebagai ganti, kami bersiar-siar melihat dan meneroka kehebatan hidupan tepi pantai yang rata-ratanya bercangkerang. Orang kata, pantai berlumpur ni banyak kerang. Puas kami menjelajah pantai sambil tertunduk-tunduk mencari kerang. Sekali lagi hampa.....

Seorang pemuda lewat umur 30an dari tadi kelihatan termenung di satu pondok melihat ke laut. Ntah apa yang difikirkan. Kami menghampirinya bersama makanan yang telah dibungkus dari rumah tadi, mengajaknya bersarapan bersama kami sambil beramah mesra.

Pada saya, manusia bermasalah pada hari ini disebabkan tak seimbang. Badan, makanannya ini la...(sambil menunjukkan makanan). Akal makanannya ilmu. Hati makanannya zikrullah. Semuanya perlu makan. Barulah seimbang...

Kami juga diajarnya mencari kerang. Sungguh menakjubkan, kerang yang tersembunyi dalam pasir pun dia boleh nampak dari jauh. Tidak hairanlah dalam masa sekejap, terkumpul satu beg plastik. Dan kami? Masih terkial-kial mencari...satu kerang pun tak dapat.

Mata kita ni, boleh jadi mata bionik. Kalau dah jadi mata bionik, jarak 1km pun boleh nampak. Cara nak dapat mata bionik, selalu menghadap kiblat, pakai pakaian bersih, melihat benda-benda hijau dan memandang orang yang kita sayang....”

Begitu banyak nasihat, petua dan pesanan yang kami dapat daripadanya termasuklah petua hubungan suami isteri. Secara kesimpulan, tak pernah kami jumpa orang yang sebegini pelik. Diam, suka termenung, selekeh, tapi banyak ilmunya...


Saya ni suka sangat MEMBACA. Kalau saya ada duit pun, habis dengan beli buku

Jam hampir pukul 9

Ok lah bang, ada kesempatan kita jumpa lagi. Kami balik dulu”.

InsyaAllah... saya pagi-pagi pun selalu di sini sahaja”.

Assalamualaikum

Waalaikumussalam”. Jawabnya.

Pulang dari pantai kami bertanya ibu angkat tentang abang Khidir yang kami jumpa di tepi pantai tadi...Mesti dia kenal orang tempatan.

Ibu, kenal tak abang Khidir. Kami jumpa kat pantai tadi. Dia kata dia selalu ada kat situ

Ibu tak kenal pulak... kamu ni jumpa nabi ke???

erk...ish...hmm...

Wallahua'lam

Sunday, May 10, 2009

HARMONI (1)



Tahniah buat Kumpulan HARMONI (kumpulan nasyid SMKA Kota Kinabalu) kerana berjaya menjadi johan di Pertandingan Nasyid Karnival SEJADAH peringkat bahagian Kota Kinabalu yang melayakkan mereka ke peringkat negeri.

Ditengah-tengah kesibukan urusan kerja di Labuan baru-baru ini, saya mendapat sedikit keluangan untuk menziarah sekolah yang telah saya tinggalkan selama 4 tahun semenjak SPM tahun 2004. Kali terakhir saya ziarah pada tahun 2007.

Seawal 6.30 pagi saya dan seorang sahabat ke terminal feri Labuan, bersesakan beratur membeli tiket. Perjalanan dengan feri selama 1jam 30 minit dari terminal Labuan hingga ke terminal feri Menumbok diteruskan dengan perjalanan menggunakan Bas Ekspres selama 2 jam 30 minit ke Kota Kinabalu. Kami tiba di Kota Kinabalu lebih kurang pukul 12 tengah hari dan disambut oleh sahabat-sahabat junior SPM 2008.

Kami terus ke sekolah. Sekolah sunyi sepi kerana semua guru dan pelajar sedang menjalani Perkhemahan Agung. Yang tinggal hanyalah beberapa orang termasuk Kumpulan HARMONI dan Kaunselor, Cikgu Fazliah. Mereka tidak menyertai perkhemahan kerana sibuk dengan latihan dan persediaan untuk Karnival SEJADAH pada keesokan harinya.

Kami mengambil kesempatan untuk bersama Kumpulan HARMONI dalam sesi latihannya, memberi sedikit tunjuk ajar dan bimbingan. Kami bersama mereka di sekolah sehingga lewat tengah malam sebelum menumpang tidur di rumah seorang sahabat usrah di luar Kota Kinabalu.

Keesokan paginya kami hadir ke tempat karnival. Kumpulan HARMONI sedang bersedia menunggu giliran, giliran ke-7. Seperti kebiasaan, apabila selesai kumpulan ke-5 kami keluar untuk ‘practice’ kali terakhir sebelum naik pentas. Kumpulan ke-7 dipanggil, Harmoni naik pentas dan memulakan persembahan. Gangguan teknikal ‘microphone’ ternyata mengurangkan kualiti persembahan. Jarak ‘microphone’ yang dipegang terlalu dekat menyebabkan suasana dewan menjadi bingit.

Alhamdulillah, selesai persembahan saya menyambut mereka di kaki pentas. Jelas eksperi muka masing-masing menunjukkan kelegaan menyampaikan persembahan. Jam menunjukkan pukul 11.45, kami tidak tunggu lama, bersalam-salaman dengan semua dan terus beredar ke Terminal Bas Kota Kinabalu. Kami berkejaran mendapatkan tiket bas ekspres yang dijadualkan pada pukul 12.30 tengah hari dan feri pada pukul 4.30 petang kerana tidak mahu lewat menghadiri temu janji pada pukul 8 malam di Labuan.

Hiburan Hijau