Persembahan Nasyid & sewa PA System, klik imej

Tuesday, May 27, 2008

Menghayun Buai Menggegar Dunia

"Dan orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi Penolong bagi setengahnya Yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
[at-Taubah,9:71]

Kita dapat saksikan kebelakangan ini, kaum wanita melangkah maju dalam pelbagai bidang menyaingi kaum lelaki. Suara-suara perjuangan dan pembelaan wanita bergema di setiap pelosok negeri. Suara-suara ini antaranya menuntut kesamaan dalam semua bidang antara lelaki dan wanita. Dalam erti kata lain, apa yang lelaki buat, maka wanita pun boleh dan perlu buat. Maka lahirlah wanita-wanita yang professional dan bekerjaya menggantikan kaum lelaki. Namun,di sebalik suara perjuangan ini, apakah kebenaran yang sebenarnya?

Islam bersifat adil sudah pasti kerana Islam adalah agama samawi daripada Allah taala dan Allah itu maha adil. Maka dengan itu seorang Muslim mestilah yakin bahawa segala ajaran Islam tidak ada juzuk daripadanya yang bersifat diskriminasi dan menindas sesetengah golongan. Dalam ayat al-Quran di atas, ternyata secara amnya Islam memberikan wanita medan kegiatan yang sama dengan lelaki. Namun secara khususnya, pasti ada perbezaan dalam peranan khusus masing-masing. Jika tidak, adakah Allah menciptakan dua jantina yag berbeza ini dengan sia-sia? Imam Ahmad dan Muslim telah meriwayatkan daripada Ummu 'Athiyyah katanya:

"Aku telah berperang bersama Rasulullah SAW sebanyak tujuh peperangan. Aku mengikuti gerombolan mereka, membuat makanan untuk mereka, merawat pesakit dan membantu mereka yang cedera parah"

Lipatan sejarah menyiarkan kepada kita bagaimana wanita turut sama berangkat ke medan perang bersama-sama lelaki. Mereka di medan perang bukanlah berada di posisi utama di hadapan atau barisan pemanah di belakang yang diisi kaum lelaki tetapi mereka ditempatkan di posisi yang tersendiri yang hanya boleh diisi dan digerakkan oleh wanita bersesuaian dengan naluri mereka.

Maka daripada ini kita dapat simpulkan terjadinya lelaki bersama-samanya peranan khusus lelaki dan terjadinya wanita bersama-samanya peranan khusus wanita. Secara logiknya, kerana manusia itu lemah dan banyak kekurangan, maka mustahil atau payah untuk satu pihak memainkan kedua-dua peranan sekaligus dan jika satu pihak tidak memainkan peranannya, maka tempanglah perjalanan hidup ini secara keseluruhannya.

Generasi soleh dan cemerlang memerlukan didikan dan asuhan yang cermat, teliti dan penuh berhikmah. Didikan ini mengambil masa yang cukup lama untuk matang bermula dari saat seorang insan itu keluar dari perut ibunya. Tumpuan, usaha dan tenaga yang penuh adalah kunci pembinaan generasi ini. Bercakap soal ini, tiada yang lebih relevan melainkan kombinasi ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Si bapa menyediakan santapan material untuk keluarga, si ibu pula memastikan keperluan rohani cukup untuk semua. Si bapa keluar mencari nafkah, si ibu pula bersama anak-anak setiap masa mengasuh, mendidik serta menyemai dan membina peribadi anak-anak.

Lihatlah betapa pentingnya peranan wanita. Kerana itulah dikatakan tangan wanita yang menghayun buaian boleh menggegar dunia. Menggegar dunia bukan dengan kehebatan kerjaya dan profesionalismenya, tetapi dengan kuasa didikan dan kasih sayang, melahirkan individu-individu hebat menggegar dunia mencipta sejarah.

Hiburan Hijau