Persembahan Nasyid & sewa PA System, klik imej

Wednesday, October 29, 2008

BUDAYA 6+1 TOPI PEMIKIRAN

Masalah-masalah di dalam mesyuarat seringkali membuatkan anda ‘fed-up’ dan malas untuk hadir dalam mesyuarat. Apa tidaknya, setelah selesai mesyuarat pasti akan ada rasa tidak puas hati atau kecil hati kerana pendapat yang dilontarkan tidak diterima. Dan jika hadir sekalipun untuk mesyuarat, mungkin tidak rasa untuk mengambil partisipasi dalam mesyuarat kerana merasakan tidak mempunyai idea yang begitu baik untuk diutarakan. Dan akhirnya, mesyuarat menjadi sangat tidak produktif bagi sesebuah organisasi dan meletakkan organisasi tersebut dalam keadaan ketandusan kreativiti. Mari berkongsi sejenak kaedah penyelesaian yang dapat digunakan bagi mendapatkan mesyuarat yang aktif,produktif, efektif dan kreatif. kaedah ini ialah BUDAYA 6+1 TOPI PEMIKIRAN

Topi Putih

Apabila fikir putih, ingat sehelai kertas. Biasanya putih dan mengandungi maklumat, butiran dan data. Apabila anda memakai topi pemikiran putih, segala persoalan di yang lain diletak di tepi melainkan persoalan tentang data dan maklumat sahaja.

Apa maklumat yang kita ada?

Apa maklumat yang sepatutnya ada tetapi tiada?

Apa maklumat yang kita mahukan?

Bagaimana kita boleh dapatkan maklumat?

Apakah kita mempunya data;fakta dan nombor yang kukuh?

Topi Merah

Merah sangat sinonim dengan simbol hati dan cinta. Ia menggambarkan perasaan dan emosi. Sememangnya tidak wajar untuk beremosi di dalam mesyuarat namun elemen ini tidak dapat diketepikan secara total. Anda harus ingat, yang terlibat di dalam mesyuarat adalah manusia yang pasti mempunyai perasaan. Maka penyelesaiannya adalah dengan menyampaikan emosi dengan cara yang lebih wajar dan boleh diterima tanpa perlu meminta maaf, memberi penjelasan atau menyatakan sebab kerana ia adalah gerak hati. Ayat yang mungkin boleh digunakan “dengan memakai topi merah, saya ada perasaan mengatakan idea ini pasti akan berjaya” atau “saya tidak tahu kenapa tetapi saya tidak begitu berkenan dengan cara ini”

Ahli mesyuarat yang lain perlu faham dengan jelas tentang perkara ini dan tidak mengambil hati dengannya. Rasa hati yang dilontarkan tidak perlulah dijadikan perkara pokok dan dibincangkan secara panjang lebar. Gerak hati biasanya berdasarkan kepada pengalaman yang banyak yang tidak sama apabila dihuraikan dengan kata-kata. Gerak hati boleh jadi betul dan boleh jadi salah.

Topi Hitam

Apabila berjalan dalam keadaan hitam-gelap, pasti anda akan berjalan dengan berhati-hati. Topi pemikiran hitam adalah pemikiran berhati-hati. Topi ini memastikan kita tidak melakukan kesilapan dan tidak berfaedah. Topi hitam sangat berharga kerana kesilapan boleh membawa bencana yang besar, maka sudah tentu anda tidak mahu melakukan kesilapan. Topi hitam menyebabkan anda berikir dan mengeluarkan hujah-hujah dan sebab-sebab mengapa sesuatu idea tidak boleh dilaksanakan. Sebagai contoh, “undang-undang tidak membenarkan kita untuk melakukan ini” atau “kita tidak mempunyai kapasiti pengeluaran yang cukup untuk memenuhi tempahan itu”. Tetapi harus diingat, topi hitam memang sangat berguna. Tetapi menggunakannya secara berlebihan juga boleh mendatangkan kerugian dan kesan negatif. Sememangnya anda tidak mahu melakukan kesilapan, tetapi pasti anda juga mahukan keuntungan.

Topi Hijau

Bercakap tentang hijau, cuba fikirkan tentang sayur yang menyumbang kepada pertumbuhan yang sihat. Topi hijau adalah topi kreatif, memikir dan melontarkan idea yang baru serta diluar daripada kebiasaan yang dilakukan. Topi hijau mencari alternatif kepada jalan konvensional yang sedia ada. Topi hijau bercakap tentang kemungkinan dan hipotesis. Topi hijau menyediakan masa dan ruang lingkup yang luas untuk idea-idea kreatif.

Topi Kuning

Sinar matahari terbenam memancarkan sinar kekuningan yang indah. Dengan pemikiran topi kuning, anda berfikir secara positif dan optimis. Topi kuning adalah bertentangan dengan topi hitam. Topi kuning memikirkan bagaimana sesuatu itu boleh dilaksanakan walaupun mempunyai banyak halangan. Topi kuning melontarkan idea dan jalan-jalan penyelesaian berdasarkan kepada logik dan hujah. Topi kuning perlukan usaha yang lebih bagi memastikan keuntungan diperoleh. Setiap idea kreatif yang mungkin pelik dan susah memerlukan perhatian daripada pemikiran topi kuning.

Topi Biru

Umpama langit biru yang luas dan meliputi bumi, topi biru adalah pandangan keseluruhan tentang setiap pemikiran yang digunakan. Topi biru menyusun agenda yang dibincangkan. Ia mengenalpasti langkah-langkah seterusnya. Topi biru meminta penjelasan dan kesimpulan. Topi biru juga meminta supaya beralih dari satu topi pemikran kepada topi pemikiran yang lain. Pendek kata, topi pemikiran biru ialah topi mengawal proses pemikira. Kebiasaanya, pengerusi mesyuarat yang menggunakan topi biru namun ahli mesyuarat yang lain juga boleh menggunakannya.


6 Topi Pemikiran yang kita kongsikan di atas di cetus oleh penulis buku bernama Edward De Bono. dan disini saya tambah dengan 1 lagi iaitu:

Serban Putih

serban putih ialah memikirkan sesuatu selari dengan kehendak dan tuntutan Islam. serban putih memastikan segala yang dibincangkan dan diputuskan tidak melangkaui batas-batas syariat.


dalam menggunakan kaedah 6+1 Topi Pemikiran, tidak seharusnya seseorang individu menggunakan satu topi sahaja sepanjang masa. Topi pemikiran perlu sentiasa ditukar-tukar bagi memastikan perbincangan yang mantap sert keputusan yang hebat diperoleh. boleh jadi seseorang memakai topi hijau melontarkan idea kemudian bertukar kepada topi hitam mengkritik idea yang dikeluarkan oleh dirinya sendiri. Kaedah ini hanya akan berkesan apabila semua ahli memahami bahawa tujuan perbincangan bukanlah untuk memastikan pendapat diri menang tetapi untuk mendapatkan kupasan yang lebih matang dalam sesuatu perkara


Selamat mencuba!!!

No comments:

Hiburan Hijau