Alhamdulillah dapat lagi baru-baru ini saya dan lebih 1 billion umat Islam serata dunia merayakan Hari Raya Aidilfitri. Berbagai-bagai reaksi dan raut wajah dapat kita lihat sepanjang musim perayaan kali ini. Lagu-lagu yang berkumandang di corong-corong sayup membawa para pendengar teringatkan kampung halaman. Maka berbondong-bondonglah semua meninggalkan pekerjaan masing-masing, pulang ke kampung.
“Mana si fulan?”
“Dah balik kampung dah...”
“aik...awalnya. Raya seminggu lagi.... habis tu kelas dia macam mana?”
“apa lagi...burn la...”
Macam ni la keadaan budak U bila dah dekat dengan Raya. Raya punya pasal...
Di kaca televisyen pula dapat kita saksikan lambakan program-program hiburan. Berlambak dan berlonggok sampai naik muak untuk kita tonton. Sebaliknya sibuk para imam dan khatib berpesan supaya meraikan Hari Raya dengan penuh adab dan berdasarkan kepada lunas-lunas Islam.
Disebutkan di dalam hadith bahawa hari raya merupakan hari kebesaran yang dikurniakan oleh Allah kepada umat Islam. Namun hari ini kita seolah-olah hilang arah. Kita berseronok dan bersedih di Hari Raya, malangnya apabila ditanya, kita sendiri tidak dapat memberikan satu jawapan yang kukuh tentang mengapa kita seronok dan sedih di hari raya. Maka sebab itulah kita dapat saksikan keseronokan kita di hari raya penuh dengan seribu satu maksiat. Hari Raya kita diisi dengan konsert, pergaulan bebas dan juga rancangan-rancangan yang langsung tidak membawa kita dekat kepada tuan yang mengurniakan kita perayaan Hari Raya ini, tak lain dan tak bukan tuan itu adalah Allah SWT. Selain bergembira, kita juga bersedih. Mengapa kita bersedih? Rata-ratanya sebab tak dapat pulang beraya di kampung atau tak dapat berjumpa sanak-saudara tertentu. Nyata dan jelas perayaan Hari Raya kita tidak langsung disandarkan pada Islam.
Seharusnya di Hari Raya ini kita bergembira dengan sesungguh-sungguh gembira!!! Tetapi gembira kita adalah kerana diberikan Allah sekali lagi peluang untuk melalui bulan bonus yakni bulan Ramadhan. Seharusnya kita gembira kerana dalam bulan ramadhan kita dapat melakukan ibadah dengan banyak sekali. Kita gembira kerana dapat mendidik nafsu kita. Gembira kerana berjaya membaiki diri menjadi insan yang lebih baik, seterusnya kerana dapat lebih mendekatkan diri kepada Allah setelah keluar dari bulan Ramadhan. Seharusnya juga kita bersedih kerana rahmat dan timbunan peluang ganjaran untuk 11 bulan mendatang belum tahu sama dengan yang kita dapat dalam bulan ramadhan tambahan pula belum tentu kita bertemu dengan Ramadhan yang akan datang. Di Hari Raya, perlu kita kembali meraikannya seperti apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, meraikan Hari Raya dengan terpamernya keizzahan Islam.
No comments:
Post a Comment