Persembahan Nasyid & sewa PA System, klik imej

Saturday, August 16, 2008

ISLAM UNTUK SEMUA

Baru-baru ini kita menyaksikan sekumpulan mahasiswa berhimpun membuat bantahan terhadap cadangan Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor supaya membuka kemasukan ke UiTM kepada pelajar bukan-bumiputra sebanyak 10%.

Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.
[al-Anbiya’,21:107]

Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab Jahiliyyah hidup dalam keadaan berpuak-puak antara kabilah. Semangat perkauman ini menjadikan sistem sosial masyarakat Arab Jahiliyah kacau-bilau. Sikap membela kaum sendiri tanpa mengira kaum lain membuatkan mereka sering bertelagah.

Hadir Islam dibawa oleh Nabi Muhammad SAW menghapuskan amalan sosial berasaskan perkauman ini. Islam menolak sebarang pertimbangan yang berasaskan kaum. Dalam erti kata lain, pertimbangan utama dalam Islam hanyalah kalimah tayyibah, LAAILAHA ILLALLAH WA MUHAMMAD RASULULLAH. Siapa sahaja yang bersaksi dan beramal dengan kalimah ini, maka mereka adalah sama sahaja semuanya tanpa mengira sempadan negeri, warna kulit, bahasa dan bangsa. Apa yang dibawa oleh Islam ialah satu bentuk keadilan sejagat yang sepatutnya dirasai oleh semua orang dan kaum dimana-mana sahaja ia berada. Dengan sifat maha adil Allah SWT, yang menjadi pertimbanganNya bukanlah seseorang itu dari kaum Melayu, Cina atau India. Tetapi pertimbangan Allah ialah ketaqwaan seseorang kepadanya. Tidak guna seseorang itu berbangsa Melayu, mendapat pelbagai keistimewaan, tetapi sentiasa melakukan maksiat dan kufur kepada Allah SWT.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).
[Al-Hujurat,49:13]

Teringat saya 5 tahun dulu(2003) semasa minggu ‘outing’ asrama, saya keluar ke bandar untuk menempah baju Melayu. “Adik… you sekolah mana?” Tanya nyonya, si tukang jahit. “Saya sekolah di bukit padang, itu sekolah atas bukit punya” balas saya. “O…itu sekolah agama ka….manyak bagus….dulu saya mau hantar anak saya pegi itu sekolah….tapi tak boleh la”. “memangla, itu untuk orang Islam saja”. dalam hati saya, tak kiralah dia ni Melayu atau Cina, kalau dia Islam mesti anak dia boleh masuk sekolah saya. Begitulah keadilan Islam yang menjadi titik pertemuan semua bangsa dan kaum yang ada di muka bumi ini.

Saya berpendapat, sangatlah dangkal jika meletakkan ‘zon selesa UiTM untuk pelajar Melayu’ sebagai salah satu harapan agung orang Melayu bagi memastikan survival dan kejayaan. Jika UiTM tak dibuka kepada bukan-bumiputra sekalipun, sampai kiamat orang Melayu takkan berjaya. Jika dibuka sekalipun, juga tidak bermakna Melayu akan mundur. Hal ini kerana, sunnah perjalanan hidup adalah siapa yang berusaha, maka dialah yang dapat. Jadi persoalan utama di sini bukanlah kuota, tetapi sikap, idealisma dan usaha mahasiswa Melayu. Mahasiswa tanpa usaha dan idealisme tetap sama tidak bermanfaat dan tidak akan berjaya, biar sekalipun semuanya melanjutkan pelajaran tinggi sampai ke langit petala ketujuh ataupun turun malaikat menjadi pensyarahnya. Dan selagi itulah juga bangsa Melayu tidak akan maju bahkan akan terus merudum.

….. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.….
[ar-Ra’ad,13:11]

WaLlahua’lam

No comments:

Hiburan Hijau