Persembahan Nasyid & sewa PA System, klik imej

Friday, June 20, 2008

Muslim Kelas Pertama

Dari tadi ku lihatnya mundar-mandir. Sibuk sungguh. Sekejap ke depan, sekejap lagi ke belakang pula. Segak, bergaya, ceria, menawan, tangkas, layanan memuaskan. Begitulah keadaan pramugara & pramugari, krew kabin di dalam kabin pesawat yang sentiasa melayan semua penumpang. Kebiasaanya aku naik pesawat dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur yang bertolak seawal jam 5 pagi. Kerana itulah antara tiket termurah yang ada untuk MAS. Peluang inilah yang digunakan untuk ‘upgrade’ tiket kelas ekonomi percuma daripada kerajaan ke tiket kelas bisnes dengan hanya menambah sedikit wang.

Melangkah masuk ke dalam kabin pesawat, aku disambut dengan ucapan selamat datang oleh krew kabin yang sedia menunggu di pintu. Jaket di tangan di ambil dan digantung dalam satu almari kecil di sisi pintu. Selesai melabuhkan punggung di kerusi empuk datang pramugari memberikan sehelai tuala kecil panas dan menghidangkan minuman jus sebagai penyegar. Sebentar kemudian, sebelum pesawat mula menderaskan enjin untuk berlepas, sambil memastikan semua penumpang memakai tali pinggang keselamatan pramugari tersebut datang lagi mengambil semula gelas-gelas kosong dan tuala tadi. Biasanya pesawat akan bergegar dengan sangat kuat semasa berlepas dan mendarat dan aku sering menahan kesakitan telinga pada kedua-dua masa itu dengan memejam mata. mungkin kesakitan berpunca dari cecair pengimbang yang terletak di bahagian telinga. Pesawat mula stabil dan aku pun mula tenang. “Encik huzaifah, encik nak makan apa untuk sarapan? Pagi ni kita ada sediakan omelet, nasi lemak dan mee goreng” sapa seorang pramugari yang entah bila tiba-tiba ada disisiku, tidak henti mengukir senyuman sejak tadi…..

Berkata Saidina Ali k.w. :

“Sesiapa yang mengucapkan kalimah laa ilaha illaLlah, maka dia seorang daie.”

Firman Allah :

Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik……

[an-nahl,16:125]

Setiap Muslim bertanggungjawab berdakawah. Tidak bermakna berdakwah hanya dengan memberi ceramah. Seorang Muslim yang berjalan di tengah kesibukan kota New York, akhlak dan peribadinya menjadi ikon dan gambaran kepada Islam buat orang bukan Islam. Maka ini juga merupakan dakwah. Seharusnya kita semua mengambil iktibar daripada peribadi krew kabin seperti yang diceritakan di atas.

Alangkah baiknya jika individu-individu Muslim yang bergelar pendakwah yang menjalar di segenap relung tubuh masyarakat mempunyai personaliti menawan seperti krew kabin ini. Sentiasa berpakaian segak dan bergaya, mengukir senyuman, berkhidmat kepada masyarakat sekeliling, menjaga kebersihan dan disenagi ramai. Logiknya pasti berbondong-bondong manusia akan berminat untuk terbang bersama ‘pesawat Islam’ merentasi ‘perjalan dunia’. Maka ayuh semua kita ubah diri kita agar tidak lagi menjadi umat Islam yang berpakaian selekeh, berjalan kengkang, berbau hamis, sentiasa bermasam muka, pengotor, tidak rajin membantu orang lain dan tidak mesra alam. Keindahan Islam perlu dipamerkan kepada masyarakat. Bersama kita berusaha menjadi Muslim kelas pertama seperti mana yang telah ditonjolkan Nabi Muhammad SAW…..

No comments:

Hiburan Hijau