Persembahan Nasyid & sewa PA System, klik imej

Sunday, February 24, 2008

Dari Wudhu' ke Pemanasan Global

Hadis Abu Hurairah r.a:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Tidak akan diterima sembahyang seseorang yang berhadas sehinggalah dia berwuduk

Begitulah yang diberitahu oleh Rasulullah SAW tentang kedudukan dan kepentingan wudhu’. Tetapi dalam satu hadith yang lain, nabi menegur seorang sahabat menggunakan air yang banyak untuk mengambil wudhu'. Nabi menegur bukan kerana sumber air terhad dan sedikit. Walaupun wudhu’ itu diambil dalam keadaan jumlah air yang infiniti iaitu dari sungai yang mengalir ia tetap merupakan suatu pembaziran hatta untuk urusan sepenting wudhu.


Ambil sekadar perlu. Islam tidak mengajar umatnya berlebih-lebih dalam apa jua perkara. Berlebih-lebih dalam sesuatu perkara bererti melakukannya diluar daripada keperluan. Sesuatu yang tidak diperlukan oleh kita selalunya diperlukan oleh orang lain. Apabila kita mengambil sesuatu lebih daripada keperluan kita, maka sudah pasti dalam tidak sedar kita telah mengambil hak dan keperluan orang lain. Berlebih-lebihan ini juga satu menifestasi sikap tamak manusia.


Sikap tamak ini tidak lain dan tidak bukan lahir daripada dorongan nafsu yang sentiasa mendambakan seluruh isi dunia. Jika dorongan nafsu ini tidak dikawal, kita pasti cenderung untuk memiliki segala-gala yang dapat kita miliki walaupun diluar daripada keperluan kita.


Lihatlah betapa dunia ini semakin tenat. Pokok-pokok ciptaan Allah berperanan besar dalam keseimbangan alam sekitar. Habis pokok-pokok di hutan ditebang secara berlebihan oleh insan yang tak bertanggungjawab semata-mata untuk mengaut keuntungan peribadi. Akhirnya sistem ekologi menjadi tidak seimbang menyebabkan berlakunya kenaikan suhu secara global. Maka yang akan menjadi mangsanya sudah pastilah generasi akan datang kerana hak mereka telah dirampas oleh generasi sekarang.


Inilah nilai yang perlu dibayar kerana meninggalkan pedoman al-quran dan as-Sunnah. Begitulah ego dan sombongnya manusia ini menganggap diri hebat dan pandai. Tanpa sedar, inilah asasnya. Walaupun nampak remeh dan kecil, akibat tidak mengambil pedoman daripada Allah dan Rasulullah dalam kehidupan ini tidak lain ialah kesusahan dan masalah kepada manusia itu sendiri.

Wallahu'alam.....

No comments:

Hiburan Hijau