Dari abi sa’id sa’ad bin malik bin sinan al-khudri r.a. bahawa nabi SAW pernah bersabda: Adalah dikalangan umat yang terdahulu daripada kamu seorang lelaki yang telah melakukan jenayah membunuh seramai 99 orang. Lalu dia bertanya dimanakah orang yang alim dibumi ini? Lalu ditunjukkan kepadanya seorang rahib(ahli ibadah). Maka dia datang menemuinya dan bertanya, sesungguhnya dia telah membunuh 99 orang, adakah peluang baginya untuk bertaubat? Lalu rahib itu berkata “tidak” maka dia membunuh rahib tersebut, maka mencukupilah 100 orang. Kemudian dia bertanya lagi, dimanakah orang yang paling alim di bumi ini? Lalu ditunjukkan kepadanya seorang yang alim. Maka dia bertanya kepada si alim itu, “sesungguhnya saya telah membunuh seramai 100 orang, adakah peluang bagi saya betaubat?” lalu orang alim itu menjawab “ya, siapakah yang menghalangmu dari bertaubat. Pergilah ke sebuah negeri, disebut negerinya, sesungguhnya disana ada orang-orang yang beribadat kepada Allah, maka beribadatlah engkau bersama mereka dan jangan kembali ke negerimu ini kerana ia negeri jahat bagimu”. Lalu dia bertolak. Apabila sampai di separuh jalan, tiba-tiba dia telah meninggal dunia. Maka berkelahi malaikat rahmat dan malaikat azab. Berkata malaikat rahmat, “Dia datang dalam keadaan bertaubat mengadap Allah dengan hatinya yang ikhlas” dan berkata malaikat azab, “Dia tidak pernah beramal dengan amalan yang baik sedikitpun” lalu datang kepada mereka satu malaikat yang merupakan dirinya dalam rupa manusia untuk menjadi hakim(penyelesai) perbalahan dua malaikat. Maka katanya, “ukur diantara kedua negeri, yang mana lebih dekat” maka itulah untuknya. Lalu mereka mengukurnya. Tiba-tiba didapati lebih dekat kepada negeri yang dituju. Lalu malaikat rahmat mengambil rohnya untuk dibawa ke syurga.
-Riwayat bukhari dan muslim-
Pengajaran yang boleh diambil daripada hadith di atas ialah, untuk membentuk peribadi muslim yang taat dan dekat kepada Allah memerlukan persekitaran masyarakat yang soleh dan mengabdikan diri kepada Allah. Dalam konteks semasa, bolehlah kita katakana kawan-kawan yang paling akrab dengan kita berperanan dalam pembentukan diri. Berkawan dengan orang yang berakhlak buruk dan rosak imannya pasti akan membuatkan kita terpalit sama dengan keburukan kawan itu, manakala berkawan dengan orang yang berpegang pada akhlak Islamiyah dan mempunyai iman yang teguh pula pasti akan membuatkan kita setidak-tidaknya merasai kemanisan Islam yang ada pada kawan tersebut seterusnya menjadikan kita cenderung kearah Islam.
Remaja khususnya perlulah mengenal pasti betul-betul mana satu sahabat yang ingin didakwahkan dan yang ingin dijadikan tempat rujukan. Kadangkala remaja keliru dengan hujah perlunya bergaul dengan sahabat-sahabat yang kurang bermoral untuk berdakwah kepada mereka. sehinggakan mereka banyak bergaul dengan sahabat yang kurang bermoral dan akhirnya tanpa sedar, mereka juga sedikit demi sedikit menjadi tidak bermoral.
Begitulah sedikit sebanyak cara untuk membina peribadi muslim sejati berlandaskan apa yang telah diajar oleh Nabi Muhammad SAW.
Kawan sejati membina peribadi....
Saat Kematian
8 years ago
No comments:
Post a Comment