Agak lama juga tak berkesempatan untuk update blog. Sedar-sedar apabila menjenguk blog, bertimbun-timbun pula mesej dalam shoutbox. Terima kasih buat semua pengunjung, terutama sahabat-sahabat dari Nilai yang berNILAI. Maaf juga kerana membuatkan semua menatap artikel yang agak lama berulang-kali setiap kali menziarah blog ini.
Sudah hampir sebulan berlalu Maulid Rasulullah SAW. Biarpun agak lama, saya kira tidak expired dan selama-lamanya akan terus relevan untuk saya berbicara tentang junjungan kita, Nabi Muhammad SAW, Penghulu segala nabi dan rasul, idola dan kesayangan kita yang menakluki tempat yang besar di hati-hati orang beriman.
Menghitung dan menghisab diri, di mana sebenarnya kita meletakkan Rasulullah di hati dan dalam kehidupan kita? Dengan sedikit pengisian yang saya dapat dari kuliah Ust. Zulkifli Ismail Baitul Qurra’ Melaka, mari kita renung sebentar peristiwa Uhud...
Rasulullah SAW mewujudkan satu kumpulan pemanah di sebuah bukit yang diketuai Abdullah Bin Jubayr. Baginda berkata kepada ketua pasukan pemanah tersebut:
“Kucar-kacirkan pasukan berkuda mereka dengan panah-panah kamu, agar mereka tidak boleh datang kepada kami dari arah belakang. Kalau kita menang atau kalah sekalipun, maka tetapkan kedudukan kamu di situ, agar jangan pihak musuh mendatangi kita dari arah kamu”
Kemudian baginda berpesan kepada para pemanah tersebut:
“Kawallah bahagian belakang kami, jika kamu lihat kami terbunuh maka jangan dibantu, kalau kamu lihat kami mendapat harta rampasan maka jangan turun menyertai kami”
Apa yang berlaku seperti yang kita maklum, pasukan pemanah tersebut meninggalkan posisi mereka apabila melihat tentera Islam menang dan mengaut harta rampasan. Akhirnya tentera berkuda Musyrikin yang dipimpin Khalid al-Walid mengambil peluang tersebut melancarkan serangan terhadap tentera Islam dari belakang. Akhirnya tentera Islam terkepung dan mengalami saat getir.
Iktibar yang boleh kita ambil dari peristiwa ini ialah bagaimana sikap tidak mengikut bahkan melanggar arahan Rasulullah SAW membawa akibat yang teruk kepada tentera Islam. Begitulah juga dengan kita pada hari ini, kita tersungkur rebah dan tertunduk pasrah dek puak kuffar adalah natijah daripada sikap kita yang tidak mengendahkan Rasulullah SAW dalam setiap aspek kehidupan kita. Kita lupa akan apa yang disebutkan Allah dalam FirmanNya:
“Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang Yang beriman, setelah ia mengutuskan Dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, Yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran Yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad Yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan Yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). dan Sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah Dalam kesesatan Yang nyata.”
Biarlah kita tak punya kemewahan hidup dan kemajuan material asalkan kita sentiasa sedar dan ingat bahawa KITA ADA RASULULLAH SAW....
Cinta rasul kita dambakan...Wallahua’lam....
No comments:
Post a Comment