Persembahan Nasyid & sewa PA System, klik imej

Thursday, June 4, 2009

Musim Mengawan


Menjengah ke beberapa blog, inilah istilah yang digunakan untuk tempoh satu minggu ini. mungkin kerana musim cuti sekolah yang penuh dengan kenduri perkahwinan.

Kebiasaannya, saya tidak begitu suka dengan kenduri kerana sering berasa pening dan rimas berada di tengah hiruk pikuk orang ramai semasa kenduri. Namun kali ini mungkin berbeza kerana tidak terkecuali daripada musim pernikahan ini beberapa sahabat dekat mahupun jauh melansungkan pernikahan. Saya menumpang gembira dengan pernikahan para sahabat sekalian, yang baru mahupun yang telah lepas beberapa bulan. Moga rumahtangga yang dibina dirahmati Allah selamanya. Amiin...

Di sebalik kegembiraan ini, jauh di satu sudut hati saya rasa sedih yang tak terbendung. Apa tidaknya melihat pemerah pipi, gincu, pakaian sendat yang dikenakan beberapa sahabat sendiri semasa pernikahannya. Ada juga yang mem’buang’ tudung untuk bersanding. Saya sangat mengerti dalam perkara ini kebanyakan kes, bukanlah dikehendaki pengantin. Selalunya atas kehendak keluarga atau mak andam yang mengurus majlis pernikahan. Tetapi saya tidak dapat menahan kesedihan kerana ini semua antara perkara yang saya tidak mahu sama sekali lihat terjadi kepada sahabat-sahabat dalam barisan dakwah, tidak kira di ‘barisan’ @ ’kelompok’ mana sekalipun.

Kesedihan bertambah sehingga hilang seketika selera makan apabila jauh berfikir. Hari ini saya melihat perkara-perkara yang tidak sepatutnya ada pada majlis pernikahan sahabat-sahabat saya mujahid dan mujahidah dakwah, bagaimana pula dengan pernikahan saya kelak? Apakah mampu dilangsungkan sepenuhnya mengikut panduan syariat sepertimana yang digariskan para ulama'? yang sememangnya pasti akan bercanggah dengan norma masyarakat pada masa ini

Ya Tuhan kami! Berilah kami dari isteri-isteri dan anak-anak kami yang menjadi penyejuk mata dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa”.

[al-Furqan,25:74]

Ya Tuhan kami! Janganlah Engkau ambil daripada kami kesalahan kami jika kami terlupa dan tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami beban berat sebagaimana yang telah engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami sesuatu yang tidak sanggup kami membawanya, dan maafkanlah kami, ampunilah kami dan kasihanilah kami serta tolonglah kami dalam menghadapi orang-orang kafir”.

[al-Baqarah,2:286]

Astaghfirullahal a’dzim....

Wallahua’lam....

No comments:

Hiburan Hijau