Persembahan Nasyid & sewa PA System, klik imej

Wednesday, April 1, 2009

PPSMI - Bukan Isu Kepartian


Ribuan berarak menuju ke istana kerana isu PPSMI. Saya tidak nampak perpaduan rakyat Malaysia sehebat ini walaupun ia sering dilaung-laungkan oleh UMNO sejak sekian lama. Kerana dalam perkara ini kita dapat lihat pelbagai golongan bersatu hati termasuklah golongan ahli politik, ahli perniagaan, ahli akademik, sasterawan, pelajar, mahasiswa dan tidak terkecuali golongan kurang upaya. Syabas dan tahniah rakyat Malaysia.

Ada apa dengan semua ini? Kenapa begitu bersungguh-sungguh menolak pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris (PPSMI)?

Isu PPSMI bukan sekadar isu yang bersifat partisan Pakatan Rakyat. PPSMI adalah isu sejagat rakyat Malaysia. Ia melibatkan maruah dan jati diri rakyat Malaysia.

Ramai yang mengatakan bahawa dengan pelaksanaan PPSMI, kita akan lebih maju kerana lebih mudah untuk kita menerima Ilmu dari barat yang mana kebanyakan buku-buku dan sumber ilmu adalah dari barat dan berbahasa Inggeris.

Persoalan pertama: bukankah pelaksanaan PPSMI ini mengukuhkan lagi kedudukan bahasa Inggeris di dalam negara kita?

Hatta sebelum pelaksanaan PPSMI sekalipun kita telah melihat penggunaan bahasa inggeris sangat meluas sehingga menindas bahasa Melayu. Buktinya kita boleh dapati apabila kita pergi ke sesetengah tempat di Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, Bahasa Melayu langsung tidak digunakan sebaliknya Bahasa Inggeris digunakan secara total.

Lupakah kita slogan yang pernah kita laung-laungkan dahulu “bahasa jiwa bangsa”? kita tidak nafikan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris bagi memastikan kita tidak ketinggalan, tetapi ia tidak bererti kita perlu mem‘bakul sampah’kan Bahasa Melayu beserta Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kenapa kita perlu tukar pertuturan kita kepada pertuturan mereka? Apakah kita tidak punya maruah dan jatidiri? Tidak bolehkah kita perkasakan industri penterjemahan bahasa kita?

Persoalan kedua: apakah pasti dengan PPSMI kita akan maju?

Saya tidak dapat terima bagaimana mereka boleh katakan PPSMI ini boleh membawa kemajuan. Saya sebagai mahasiswa merasakan bahawa kunci ketamadunan dan kemajuan adalah tahap intelek dan budaya ilmu yang tinggi, bukanlah dengan menjulang dan membontoti bahasa asing. Memadai kita lihat negara-negara seperti Jerman, Perancis dan Itali.

Kita tidak perlukan Perdana Menteri yang pandai berbahasa Inggeris tetapi tahap intelek dan budaya ilmunya cetek. Kita sudah dapat lihat Perdana Menteri dan orang-orang seperti ini tidak membawa negara kita ke tahap yang lebih tinggi, tetapi tidak lain hanya menghabiskan khazanah negara dan menggadai bangsa serta agama kita.

Kita memerlukan pemimpin yang fasih berbahasa Inggeris dan dalam masa yang sama mempunyai tahap intelek dan budaya ilmu yang tinggi disamping kecintaan kepada bangsa dan agama yang tinggi.

Apa guna anak-anak bangsa kita belajar dalam bahasa Inggeris tapi sedikit habuk pun tak mempunyai idealisme dan intelektualisme???

Agen Sekularisme

Bahasa jiwa bangsa. Bahasa membentuk bangsa dan budaya. Menyuburkan bahasa Inggeris dalam masyarakat kita tidak lain hanya membuka ruang luas kepada anasir-anasir luar menyerap masuk dalam masyarakat kita.

Menyuburkan bahasa Inggeris seolah seperti mengisytiharkan dasar pandang ke barat, menjadikan tamadun barat yang bobrok sebagai idola dan ikutan. Apabila anak-anak bangsa kita mula memandang ke barat, maka asas agama dan budaya agama sedikit demi sedikit semakin ditinggalkan. Nama-nama agung dibarat akan menggantikan Rasulullah di hati anak-anak kita.

Sudah pasti kita tidak mahu anak-anak bangsa kita terdidik jiwa mereka dengan didikan yang rosak melalui bahas Inggeris. Kita mahukan anak-anak bangsa kita terdidik dengan didikan Al-Quran. Firman Allah:

“Haa, Miim. Demi Kitab Al-Quran Yang menyatakan kebenaran. Sesungguhnya Kami jadikan Kitab itu sebagai Quran Yang diturunkan Dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal) memahaminya.”

[az-Zukhruf,44:1-3]

Bagaimana pula bahasa Arab di hati kita?

Wallahu’alam.....

No comments:

Hiburan Hijau