Persembahan Nasyid & sewa PA System, klik imej

Tuesday, September 16, 2008

Reformasi atau Transformasi

Di masa ini begitu ramai yang memperkatakan tentang tarikh 16 september yang dikhabarkan menjadi tarikh bagi ‘Malaysia Baru’ di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat. Dengan kenaikan harga petrol yang seterusnya menaikkan kos hidup rakyat, kadar jenayah yang menggila dan masalah sosil yang meruncing, sememangnya ramai yang menanti dengan penuh debar dan tidak sabar ‘Malaysia Baru’ ini dengan harapan segala masalah yang ditanggung oleh rakyat sekarang ini dapat diselesaikan.

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di bumi"….

[al-Baqarah,2:30]

Dalam keghairahan rakyat menantikan perubahan atau reformasi kearah ‘Malaysia Baru’ ini, seharusnya para pendokong, penyokong dan pencinta Islam serta gerakannya tidak lupa bahawa apa pun yang terjadi, di akhir sekali kita mahukan Islam dan umatnya terbela. Hal ini juga perlu selari dengan firman Allah seperti di atas. Sebahagian ulama’ berpendapat tujuan khalifah adalah “galang-ganti kenabian dalam menjaga agama Islam dan mentadbir dunia dengannya1”.

Maka dengan ini, apakah perubahan ke arah ‘Malaysia Baru’ yang kita nanti-nantikan ini merupakan satu reformasi ‘isi’ kerajaan daripada ‘isi bobrok’ kepada ‘isi telus’? atau adakah ianya hanya tranformasi luaran bersifat kulit daripada pemerintahan dengan label ‘BN’ kepada ‘PR’ dengan isi yang sama? Jika benar reformasi ‘isi’ bakal berlaku, apakah Islam akan berada di tempat yang lebih tinggi daripada sekarang? Allah sahaja yang tahu....

Apapun, dalam keghairahan ini, saya sentiasa mengharapkan Islam akan berada ditempat yang tertinggi tidak kiralah samada berlaku perubahan tampuk pemerintahan ataupun tidak. Dalam masa yang sama, saya juga berdiri teguh dan menyokong penuh atas segala keputusan dan pendirian yang diambil oleh Barisan Ulama’ dalam Pakatan Rakyat yang mana satu-satunya barisan pembela Islam dalam politik nasional Malaysia.

Ulama’, pewaris nabi..... dampingilah mereka.....

Rujukan:

1)Hj. Abdul Hadi Awang, Islam: Fikrah, Harakah & Daulah, DPF,2005.

Thursday, September 11, 2008

Hidup dalam Mati

Suasana dewan yang ceria serta-merta bertukar suram. Bahkan turut kedengaran esak tangis beberapa orang. Begitulah apabila diumumkan seorang sahabat sebaya, sahabat seperjuangan, si fulanah baru sahaja meninggal dunia. Pelbagai perkara timbul dalam fikiran. Si fulanah ini meninggal dunia dalam usia yang begitu muda ditambah pula dalam perjuangan menegakkan Islam di bumi yang dipijak. Apa pula perasaan ibu dan bapanya dalam berhadapan dengan perkara ini? Apa erti kematian ini?

Dikisahkan di waktu perang Uhud, Ibu Sa’ad bin Mu’adh datang berlari-lari kepada baginda, dan tatkala itu sa’ad sedang memegang tali pengekang kudanya. Lantas Sa’ad berkata: “Wahai Rasulullah, itu ibuku”. Rasulullah S.A.W berkata: “Selamat datang untuknya”, lalu Rasulullah S.A.W berhenti menantinya. Setelah ibunya hampir, Baginda mengucapkan takziah atas kematian puteranya ‘Amru bin Mu’adh, lantas dia menjawab: “Bila saya lihat engkau selamat, maka terasa kecil olehku musibah itu”

Seorang wanita dari Bani Dinar datang, di mana suami, saudara dan bapanya telah terkorban dalam peperangan Uhud. Apabila dikhabarkan kepadanya kematian mereka, dia berkata: “Jadi, apa yang terjadi kepada Rasulullah?” Mereka menjawab: “Rasulullah S.A.W selamat, hai Ummu Fulan, dia Alhamdulillah sebagaimana yang engkau mahukan”. Wanita itu berkata: “Tunjukkan kepadaku, biar aku melihatnya sendiri”. Lalu ditunjukkan Rasulullah S.A.W kepadanya, sehingga apabila benar-benar telah melihatnya, dia pun berkata: “Semua musibah selepas melihatmu, perkara kecil sahaja”.

“Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa Yang terbunuh Dalam perjuangan membela agama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang Yang hidup (dengan keadaan hidup Yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.”
[al-Baqarah,2:154]

Ini rupanya erti satu kematian dalam perjuangan….
Pedih bagi sebahagian orang, manis bagi sebahagian yang lain….
Macam mana dengan giliran kita?

Hiburan Hijau